December 22, 2011

Duit Malaysia Siri Ketiga - Keunikannya

CIRI-CIRI KEUNIKANNYA...
Ciri-ciri unik yang mencorak budaya dan warisan negara menjadi sumber inspirasi dalam reka bentuk duit syiling Malaysia siri ketiga ini. Dengan tema 'Keunikan Malaysia', reka bentuk baharu duit syiling ini memaparkan motif-motif seni kraftangan tradisional dan keindahan flora dan fauna negara. Duit syiling ini menyerlahkan identiti kebangsaan Malaysia yang kaya dan pelbagai dengan begitu indah sekali.


Sulur Kacang (50 Sen)

Motif sulur kacang pada duit syiling 50 sen amat terkenal kerana sering digunakan oleh para pengukir dalam seni ukiran kayu dan perak mereka. Kelembutan lingkaran dan juntaian pokok kacang tergambar dalam ukiran pada barang kemas, peti, dan juga pada bahagian-bahagian rumah kayu tradisional seperti muka pintu, bingkai tingkap serta panel kayu pada dinding rumah. Garisan halus pada latar belakang motif merupakan sebahagian daripada ciri keselamatan.

Bunga Melur (20 Sen)

Bunga melur mendapat tempat yang istimewa dalam kebudayaan tiga kaum utama di Malaysia. Keharuman bunga ini menjadikannya sebagai satu elemen penting dalam majlis tradisional seperti majlis perkahwinan dan acara keagamaan. Motif bunga melur juga sering terdapat pada hasil kesenian dan pertukangan tangan tradisional seperti sulaman dan ukiran perak. Pada duit syiling 20 sen baharu ini, bunga melur dipaparkan dengan berlatarkan motif kain destar siga.

Motif Orang Asli (10 Sen)

Orang Asli di Malaysia cukup terkenal dengan kemahiran seni anyaman daun-daun dan tumbuhan setempat untuk dijadikan perhiasan seperti hiasan kepala, selempang dan skirt yang dipakai di upacara dan majlis tradisional. Setiap kaum memiliki corak anyaman tersendiri yang lazimnya diilhamkan daripada sistem kepercayaan dan persekitaran mereka. Duit syiling 10 sen baharu mengabadikan seni warisan ini dalam bentuk corak anyaman unik suku kaum Mah Meri di Semenanjung Malaysia.

Destar Siga (5 Sen)

Kain destar siga merupakan sejenis tenunan kain asli suku kaum Kadazan Dusun di Sabah. Ia biasanya dijadikan sebagai hiasan kepala dalam majlis tradisi mereka. Kain hiasan kepala ini ditenun terutamanya dengan benang hitam dan diserikan dengan benang pelbagai warna bercorak geometri serta motif yang diilhamkan daripada flora dan fauna. Dengan berlatarkan motif sulur kacang, destar siga menjadi corak utama pada duit syiling 5 sen baharu.

Reka Bentuk Wang Kertas

  • Bahagian Hadapan Wang Kertas

Semua denominasi wang kertas siri baharu ini mengekalkan potret Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang pertama, Tuanku Abdul Rahman ibni Tuanku Muhammad, bunga kebangsaan iaitu bunga rayaRosa-sinensis (dikenali sebagai Bunga Raya dalam kalangan penduduk tempatan), nilai muka pada wang kertas, perkataan 'Bank Negara Malaysia' sebagai pihak berkuasa yang mengeluarkan wang kertas dan corak tenunan tradisional iaitu songket sebagai latar belakang dan pada hujung wang kertas bagi menggambarkan tradisi kraf tangan dan tenunan di Malaysia. Ciri-ciri lain termasuklah pengenalpastian secara sentuhan bagi mereka yang kurang upaya penglihatan, dan potret tera air dengan piksel dan angka.

  • Bahagian Belakang Wang Kertas

Bahagian belakang setiap wang kertas memaparkan ciri-ciri alam semula jadi, tradisi, budaya, flora, fauna dan ekonomi, yang khusus bagi Malaysia. Wang kertas baharu ini juga mengekalkan logo Bank Negara Malaysia, nombor siri, tulisan Jawi dan corak tenunan songket pada bahagian belakang wang kertas.

Psstt: I loike duit kertas tu,... berwarna-warni you! Meriah ko Jah!! hahahaha~

Sumber: Bank Negara Malaysia

2 comments:

pelik2perfect said...

wow...tq for sharing new info...bile kua duit ni?

Lavender Lassie Roses said...

Mata wang siri baharu ini dilancarkan hari ini oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato' Sri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak. Wang kertas denominasi RM50 dalam siri baharu ini telah pun berada dalam edaran.
Duit syiling siri baharu adalah dalam denominasi 5 sen, 10 sen, 20 sen dan 50 sen dan telah pun dilancarkan pada 25 Julai 2011. Duit syiling siri baharu ini akan berada dalam edaran pada bulan Januari 2012.